BANGKOK:Polis Thailand mengarahkan agar siasatan dilakukan ke atas empat media berhubung laporan mengenai tunjuk perasaan antikerajaan di Bangkok minggu lepas.

Timbalan jurucakap Polis Kolonel Kissana Phathanacharoen berkata pasukan keselamatan itu telah meminta Suruhanjaya Penyiaran dan Telekomunikasi Kebangsaan (NBTC) serta Kementerian Ekonomi Digital dan Masyarakat Thailand untuk mengeluarkan kandungan empat media dan laman Facebook sebuah kumpulan tunjuk perasaan yang didakwa melanggar perintah darurat.

Empat media itu ialah Voice TV, Prachathai.com, The Reporter, THE STANDARD manakala kumpulan tunjuk perasaan terbabit ialah Free YOUTH.

"Kami menerima maklumat daripada unit risikan bahawa sebahagian daripada kandungan serta maklumat itu yang telah diputar belit diguna serta disebarkan sehingga menyebabkan kekeliruan dan keadaan tidak tenteram dalam kalangan masyarakat.

"NBTC serta Kementerian Ekonomi Digital dan Masyarakat akan meneliti selain melaksanakan undang-undang dan mematuhi kebebasan akhbar," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, Menteri Ekonomi Digital dan Masyarakat Thailand Puttipong Punnakanta berkata pihaknya telah memohon perintah mahkamah untuk mengeluarkan lebih 300,000 kandungan yang melanggar undang-undang yang disiarkan oleh keempat-empat media serta laman Facebook kumpulan antikerajaan tersebut dari 14 hingga 18 Okt lepas.

"Kandungan terbabit telah melanggar perintah darurat di Bangkok. Pihak kementerian akan melaporkan kes itu kepada polis secara beransur-ansur mulai hari ini," katanya.

Pada Khamis lepas, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha mengisytiharkan bahawa terdapat 'Situasi Darurat yang Serius di Bangkok' bagi mengharamkan perhimpunan lima orang atau lebih yang berkuat kuasa pada 4 pagi (waktu tempatan) dalam usaha mengakhiri tunjuk perasaan jalanan pimpinan pelajar yang berlangsung selama tiga bulan.

Selain itu, ia turut melarang penerbitan berita atau mesej secara dalam talian lain yang boleh menjejaskan keselamatan negara serta mewujudkan kebimbangan atau menyebarkan maklumat palsu.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Jaruwat Waisaya berkata tidak ada perintah untuk menutup mana-mana media.

Beliau berkata jawatankuasa mengenai pengurusan maklumat media telah ditubuhkan bagi meneliti semua maklumat serta kandungan di pelbagai platform media.

"Jawatankuasa itu mempunyai kuasa untuk memantau dan menyiasat penyedia kandungan. Jika (kandungan) didapati menjejaskan keselamatan negara, tindakan perundangan akan diambil," katanya.

Sementara itu, Prayuth berkata beliau menyokong satu cadangan bagi mengadakan sesi parlimen kaas untuk membincangkan situasi politik di negara tersebut serta meminimumkan konflik.

"Ini bukan bermakna kami memberikan maklum balas kepada tekanan (menyokong sesi parlimen khas)... Kami berharap sesi parlimen khas akan membincangkan perkara ini menerusi mekanisme parlimen," katanya.

Prayuth menafikan bahawa kerajaan akan melanjutkan perintah darurat di Bangkok ke wilayah lain di negara itu.

"Tidak ada keperluan untuk mengenakan perintah berkurung di Bangkok," katanya.