NARATHIWAT (Thailand): Polis Thailand menahan 89 warga Myanmar termasuk sembilan wanita yang dipercayai cuba menyeludup masuk ke Malaysia, di Tak Bai, Narathiwat, selatan Thailand.

Timbalan Ketua Polis Narathiwat Kol. Pol. Thawatchai Duksukkaew berkata kesemua mereka ditangkap dalam dua serbuan pada Sabtu di dua buah rumah sewa di Tak Bai.

Tiga buah trak pikap yang dipercayai digunakan untuk menghantar warga Myanmar terlibat turut dirampas.

"Siasatan awal mendapati kesemua warga Myanmar itu sedang menunggu masa yang sesuai untuk memasuki Malaysia.

"Polis sedang memburu empat lelaki tempatan yang merupakan pemandu trak pikap yang telah meloloskan diri ketika serbuan," katanya pada satu sidang media di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Tentera Wilayah Narathiwat, Chalermporn Khamkhiao berkata pihak berkuasa Thailand akan mempertingkatkan kawalan di sempadan bagi mengekang penyeludupan manusia.

-- BERNAMA