KUALA LUMPUR:Politik berhemah dan bermoral memerlukan pengorbanan dan kompromi daripada semua pihak.

Penganalisis politik,  Prof Sivamurugan Pandian berpendapat, kemelut dalaman adalah perkara paling utama yang perlu diselesaikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi membolehkan langkah memulihkan ekonomi dapat diteruskan.

"Kepimpinan perlu diperkukuhkan dengan tadbir urus yang baik dan memastikan kemelut dalaman tidak mengganggu apa yang mahu dicapai.

"Dalam proses pemulihan pasca COVID-19, apa yang diperlukan kini adalah komitmen yang tinggi kerana kestabilan politik penting bagi menarik pelabur asing.

"Langkah pertama adalah meyakinkan rakyat, barulah masyarakat luar," katanya ketika muncul dalam Buletin Khas AWANI.


Tolak politik ke tepi, bersatu jaga kebajikan rakyat - Muhyiddin

Sivamurugan mengulas lima keutamaan kerajaan untuk 2021, seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam perutusan tahun baharunya, Khamis malam.

Idealogi politik yang berbeza, tambah beliau, tidak sepatutnya menjadi penghalang dalam mencapai kesepakatan, terutama ketika negara masih bergelut melawan pandemik COVID-19.

"Perikatan Nasional perlu buktikan kemampuan mengukuhkan kepentingan setiap ahli dengan matlamat utama supaya ikatan dapat diperkukuhkan, titik kebersamaan dapat dicapai dan menyatukan motivasi serta keazaman untuk menjadikan PN sebuah entiti politik baharu," katanya.