SEREMBAN: Kerajaan yang dibentuk ketika ini perlu kukuh dan stabil bagi memastikan pembangunan ekonomi dapat membangun pesat sekali gus membolehkan nasib rakyat dapat dibela.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keyakinan syarikat-syarikat gergasi melabur dalam negara juga adalah berlandaskan kestabilan politik negara ketika ini.

Beliau berkata, ia termasuk syarikat automotif Geely dan Amazon Web Service (AWS) yang membuat pelaburan besar di negara ini baru-baru ini susulan yakin dengan pimpinan dan kestabilan serta masa depan Malaysia.

"Bayangkan sekarang saya boleh duduk sekali dengan Presiden UMNO, malam ini bersama Premier Sarawak, Abang Johari dan Hajiji, Ketua Menteri Sabah.

"ini menunjukkan kesediaan pimpinan memastikan kerajaan ini kuat dan stabil, ini telah kita lakukan, Alhamdulillah penghargaan rakan-rakan kerana kerjasama ditunjukkan, kita bulatkan fikiran kalau kerajaan dan negara tak stabil ekonomi tak dapat di atur, tanpa pemacuan ekonomi nasib rakyat tak dibela," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Sembilan dan Malaysia Madani di Wisma Majlis Bandaraya Seremban hari ini.

Mengulas lanjut katanya, kestabilan politik mesti dipertahankan meskipun ada ura-ura yang mahu mengambil alih kerajaan di bawah pimpinannya ketika ini.

Dalam pada itu katanya, beliau turut menyangkal dakwaan pembangkang kononnya kerajaan yang ditadbirnya hari ini telah mengenepikan kepentingan dan hak orang Melayu di negara ini.

Malah jelasnya,  kerajaan tidak pernah mengkhianati hak orang Melayu sebaliknya terus mempertahankannya menerusi tindakan yang lebih teratur dan telus.