KUALA LUMPUR: Sebagai sebuah negara "megadiverse", Malaysia menegaskan pelaksanaan Rangka Kerja Kepelbagaian Biologi Global Pasca-2020 (Post-2020 GBF) perlu mengambil kira kepentingan dan keadaan semasa negara.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata pelaksanaan Post-2020 GBF mesti disokong oleh dokumen panduan serta bantuan teknikal dan kewangan yang mencukupi daripada Sekretariat Konvensyen Kepelbagaian Biologi dan negara-negara maju yang lain.

"Hasil rundingan CBD (Konvensyen Kepelbagaian Biologi) akan diterjemahkan dalam kerangka pengurusan biodiversiti negara melalui Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (DKBK)," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Ketika ini Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim selaku tumpuan utama negara kepada CBD sedang mengetuai delegasi negara di mesyuarat Persidangan Ke-15 Pihak-pihak CBD (CBD COP15).

CBD COP15 bermula dari 7 hingga 19 Dis di Montreal, Kanada.

Nik Nazmi berkata CBD merupakan sebuah perjanjian alam sekitar multilateral (MEA) yang dianggotai oleh 196 negara ahli dan mempunyai tiga matlamat utama iaitu konservasi biodiversiti, penggunaan komponennya secara mampan dan perkongsian faedah daripada sumber genetik secara adil dan saksama.

"COP diadakan setiap dua tahun untuk merundingkan dokumen dasar dan teknikal berhubung biodiversiti di peringkat antarabangsa dan COP15 adalah sangat penting kerana akan memuktamadkan Pelan Tindakan Strategik Biodiversiti bagi menggantikan Sasaran Biodiversiti Aichi," katanya.

Beliau berkata dalam mesyuarat CBD COP15 itu, delegasi negara terdiri daripada 24 orang ahli melibatkan pegawai daripada kementerian, jabatan atau agensi yang berkaitan di peringkat persekutuan dan negeri.

Selain Post-2020 GBF, antara agenda utama yang melibatkan kepentingan negara di mesyuarat itu ialah mengenai kawasan perlindungan, biologi sintetik, digital sequence information (DSI), biodiversiti marin, spesies asing invasif (IAS) dan mobilisasi sumber.

-- BERNAMA