KUALA NERANG: Pemotongan gaji menteri tidak akan membantu menyelesaikan isu kos sara hidup rakyat, sebaliknya usaha itu memerlukan kaedah lain yang lebih berkesan, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

"Perkataan potong gaji ini macam dalam Dewan Rakyat... itu selalu diusulkan oleh pembangkang... saya faham apa yang dimaksudkan Rafidah (bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz) itu.

"Seharusnya dia perjelaskan dengan terperinci kerana potong gaji itu bukan jalan penyelesaian (isu kos sara hidup rakyat), dia bekas menteri sepatutnya dia berjumpa Perdana Menteri nasihat baik-baik dan bagi idea," katanya.

Beliau mengulas laporan media semalam, yang menyebut, Rafidah mencadangkan pemotongan gaji menteri bagi membantu rakyat yang ketika ini bergelut dengan krisis ekonomi akibat COVID-19 dan krisis peperangan antara Rusia-Ukraine.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, pelbagai usaha dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama menteri kementerian berkaitan termasuk Kementerian Kewangan bagi menangani kenaikan harga barang.

"Pasukan menteri ini akan duduk mesyuarat seminggu dua kali bagi membincangkan hal yang dibangkitkan dan memberi jalan penyelesaian seperti yang diumumkan Perdana Menteri... seperti tiada kenaikan tarif elektrik dan harga pasaran ayam tidak akan diapungkan.

"Terbaru hari ini kerajaan masih memberi subsidi petrol RON95 kepada rakyat dengan harga RM2.05 seliter dan ini merupakan antara langkah dan keputusan yang diambil kerajaan agar tidak membebankan rakyat," katanya.

Terdahulu, beliau ditemui selepas merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Tualak di sini, hari ini.