Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hari ini secara rasminya menjalinkan kerjasama politik bersama Pakatan Harapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.

Ia bagi memastikan pertandingan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN) pada PRU ke-14 nanti.

Kerjasama itu termeterai dalam satu perjanjian persefahaman yang ditandatangani di antara Pakatan Harapan dan PPBM yang diadakan di Ibu pejabat Keadilan

Ia ditandatangani Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketika ditanya mengapa PPBM tidak terus menyertai Harapan sebagai salah sebuah parti di bawah gabungan pembangkang, jelas Wan Azizah, perjanjian itu adalah langkah permulaan.

"Ini adalah permulaan untuk kita bekerjasama. Kami telah mula bekerjasama dan gabungan itu hanya satu 'formaliti'. Buat masa ini, inilah perjanjian yang persetujui iaitu kerjasama.

"Ini adalah satu perjanjian bahawa kita akan bekerjasama, jadi kita kena pastikan menang pilihan raya dahulu," katanya pada sidang media selepas mesyuarat majlis Presiden Pakatan Harapan dan PPBM, di sini, hari ini.

Dalam perjanjian berkenaan tujuh perkara dipersetujui termasuk berbincang dengan parti-parti yang masih belum menandatangani perjanjian tersebut bagi memastikan hanya satu calon mewakili Pakatan Harapan - PPBM dalam pilihan raya.

Perjanjian itu juga bagi mewujudkan gabungan parti-parti pembangkang sebelum pilihan raya umum akan datang dengan tujuan membentuk kerajaan selepas pilihanraya.

Keempat-empat parti itu juga akan menubuhkan sebuah jawatankuasa teknikal bersama bagi membincangkan pembahagian kerusi dan manifesto bersama.