MALAYSIA
PPM rampas RM84 juta, gagalkan pemindahan haram 1 juta liter petrol

Empat individu warga asing berumur antara 43 hingga 65 tahun turut ditahan untuk siasatan. - Foto PPM
SANDAKAN: Cubaan memindahkan minyak petrol secara haram dari kapal ke kapal di perairan Laut Langkayan berjaya digagalkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah dalam satu operasi khas lewat malam Rabu lalu.
Komander PPM Wilayah 4, ACP Mohd Nazri Ibrahim berkata, operasi yang bermula sekitar jam 11 malam itu telah mengesan dua buah kapal mencurigakan, iaitu sebuah kapal besi dan sebuah kapal kumpit yang sedang menjalankan aktiviti pemindahan minyak di tengah laut.
“Hasil pemeriksaan mendapati kapal besi itu baru sahaja selesai memindahkan sebanyak 100,000 liter petrol ke kapal kumpit.
“Pemeriksaan lanjut menemukan baki kira-kira 900,000 liter petrol di dalam kapal besi berkenaan, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan mencecah 1 juta liter,” katanya.Beliau berkata, empat individu warga asing berumur antara 43 hingga 65 tahun turut ditahan untuk siasatan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran pemindahan minyak atau ‘bunkering’ daripada pihak Kastam dan Jabatan Laut.
Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM84,070,000, menjadikannya antara rampasan minyak seludup terbesar di perairan Sabah tahun ini.
Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Perkapalan Saudagar 1952.
ACP Mohd Nazri menegaskan, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempertingkatkan pemantauan bagi membanteras kegiatan penyeludupan yang boleh mengancam keselamatan dan ekonomi negara.
Beliau turut menyeru orang awam supaya tampil memberikan maklumat sekiranya mengetahui sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan perairan negara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami