KUALA LUMPUR: Penyelaras Pentadbiran Masjid Daerah (PPMD) dan penyelia KAFA layak menerima hak dan manfaat perkhidmatan seperti pegawai berjawatan tetap walaupun mereka berstatus kontrak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, pihaknya cakna dengan cadangan menaik taraf penjawatan PPMD dan Penyelia KFA ke jawatan tetap.

“Kerajaan sentiasa optimis untuk mengadakan perbincangan dengan agensi pusat berkaitan bagi mencari kaedah terbaik dalam isu tersebut.

“Kerajaan melalui JAKIM juga sedang menyediakan hala tuju Program KAFA yang bertujuan memperkasa Program KAFA sedia ada.

“Ia termasuklah menambah baik aspek perkhidmatan Penyelia KAFA dengan menumpukan kepada elemen peningkatan profesionalisme dan jaminan kebajikan,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Sabri Azit (Pas - Jerai) yang meminta Perdana Menteri menyatakan apakah Kerajaan bercadang untuk melantik PPMD dan Penyelia Guru Agama (KAFA) ke perjawatan tetap.

Tambah beliau, pada tahun 2010 Kerajaan bersetuju melantik PPMD di bawah status "Contract For Service" dengan bayaran elaun bulanan sebanyak RM1,710.00.

“Manakala, pada tahun 2015 Kerajaan telah bersetuju untuk menaik taraf jawatan PPMD dari "Contract For Service" kepada jawatan Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Gred S29 dengan gaji pokok sebanyak RM1,493.00 atau RM1,770.95 sebulan.

“Mereka juga diberi kenaikan gaji tahunan sebanyak RM145.00. Ini melibatkan jumlah PPMD seramai 173 orang sehingga ke hari ini.

“Manakala bagi Penyelia Guru KAFA pula, sehingga kini terdapat seramai 383 orang Penyelia KAFA berstatus pegawai kontrak gred S19,” ujarnya.

Tambah beliau, 383 penyelia itu dilantik berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2008, Dasar dan Prosedur Pelantikan Secara Kontrak yang sedang berkuat kuasa.