KUALA LUMPUR: Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Bajet 2022 akan menjadi teras kepada usaha pemulihan dan pembaharuan Malaysia untuk jangka panjang melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Dalam ucapan penutup pada Khazanah Megatrends Forum 2021 pada Rabu, beliau berkata PPN akan menempatkan negara di landasan yang kukuh ke arah pemulihan berdasarkan sains dan data.

Perjalanan ke arah pemulihan akan turut disokong oleh Bajet 2022 yang bercirikan pengembangan, menyediakan asas untuk usaha pembaharuan kerajaan yang lebih luas dan untuk jangka panjang, katanya.

"Sehubungan itu, beberapa perkara utama difikirkan. Pertama, usaha perlu dilakukan bukan hanya untuk menangani COVID-19, tetapi turut mewujudkan pasca pandemik yang lebih berdaya tahan.

"Kedua, dalam mencapai matlamat jangka pendek untuk mengelak kemelesetan ekonomi, kita juga perlu mengambil peluang untuk menangani masalah struktur dalam jangka sederhana dan panjang.

"Terakhir, infrastruktur digital yang sesuai amat penting terutamanya dalam mengurangkan ketaksamaan bandar-luar bandar," kata Tengku Zafrul.

Bagi memastikan kejayaannya, Kementerian Kewangan komited untuk menyediakan perbelanjaan pembangunan negara seperti yang diperincikan dalam RMK12, katanya.

Tengku Zafrul berkata dalam RMK12, antara matlamat utama ialah mencapai pengurangan intensiti pelepasan gas rumah hijau sebanyak 45 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030 berbanding paras intensiti pada 2005.

"Elemen atau faktor baharu, seperti menyokong ekonomi kitaran dan mempercepatkan pelaksanaan pengurusan sumber air yang bersepadu, akan terbukti penting," katanya.

Secara keseluruhannya, Tengku Zafrul berkata RMK12 menyasarkan pertumbuhan antara 4.5 dan 5.5 peratus setahun, menghasilkan pendapatan negara kasar per kapita sebanyak RM57,882 atau AS$14,842 pada 2025, selain mencapai semula guna tenaga penuh.

-- BERNAMA