KUALA LUMPUR: Sidang Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 hari ini memutuskan Melaka kini beralih kepada Fasa 2 manakala Negeri Sembilan kepada Fasa 3 di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata peralihan fasa bagi negeri-negeri terbabit akan bermula pada 4 September 2021.

"Berdasarkan keputusan Sidang Khas Pengurusan Pandemik COVID-19, saya ingin memaklumkan peralihan fasa di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi negeri-negeri berikut.

"Melaka beralih kepada Fasa 2 dan Negeri Sembilan beralih kepada Fasa 3," katanya dalam kenyataan media pada Khamis.

Dalam kenyataan itu, Perdana Menteri turut menzahirkan kepercayaan bahawa kadar vaksinasi negara akan mencapai 100 peratus akhir Oktober depan.

"Berdasarkan unjuran data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), purata kadar vaksinasi di setiap negeri dijangka mencapai 80 peratus bagi populasi dewasa menjelang penghujung September 2021.


"Saya percaya kadar vaksinasi 100 peratus akan dicapai akhir Oktober 2021, sekali gus memberi perlindungan kepada Keluarga Malaysia," kata Perdana Menteri lagi.