KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini bersetuju membenarkan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi tiga buah negeri iaitu Negeri Sembilan, Pahang dan Johor.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata peralihan itu akan mula dikuat kuasa pada 24 September ini.

"Negeri Sembilan beralih daripada Fasa 3 kepada Fasa 4, Pahang daripada Fasa 2 kepada Fasa 3 dan Johor daripada Fasa 1 kepada Fasa 2," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 berkata peralihan fasa itu adalah mengikut garis panduan yang ditetapkan PPN dengan mengambil kira kemasukan ke hospital bagi kes bergejala, penggunaan katil ICU serta peratusan lengkap divaksinasi.

"Keputusan ini juga dilakukan berdasarkan penilaian risiko semasa yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.

Menurut beliau, prosedur Operasi Standard (SOP) bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa 2, 3 dan 4, adalah sama dengan sebelum ini.

Keterangan SOP terkini akan dikemaskini oleh MKN di laman sesawang rasmi www.mkn.gov.my.