PPV IPT Mega USIM tamat operasi, beri 200,516 suntikan vaksin COVID-19

Bernama
September 20, 2021 06:17 MYT
Seramai 100,736 individu menerima suntikan dos pertama manakala 99,780 orang menerima suntikan kedua di PPV Mega USIM. - Bernama
NILAI: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Institut Pengajian Tinggi (IPT) Mega Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menamatkan operasi semalam, dengan pemberian 200,516 suntikan vaksin COVID-19 kepada penerima bermula 28 Jun lepas.
Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USIM Prof Dr Mohd Radhi Ibrahim berkata, seramai 100,736 individu menerima suntikan dos pertama manakala 99,780 orang menerima suntikan kedua di PPV berkenaan.
"Jumlah penerima vaksin yang tinggi ini menjadikan PPV IPT Mega USIM menyumbang kepada 26 peratus pembentukan imuniti kelompok di Negeri Sembilan bagi membendung penularan COVID-19," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd Radhi berkata pihaknya menghargai sumbangan semua sukarelawan daripada pelbagai lapisan masyarakat dan agensi yang bertungkus lumus memastikan kelancaran operasi PPV IPT Mega USIM.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri J. Arul Kumar berkata PPV IPT Mega USIM turut diiktiraf antara tiga PPV terbaik di peringkat kebangsaan.
"Jika pada akhir Julai lepas negeri ini berada di tempat enam teratas COVID-19 kes harian tertinggi, namun kini kes harian COVID di Negeri Sembilan telah menurun. Ini susulan pemberian vaksin lebih meluas melalui penubuhan PPV termasuk di USIM yang membantu kita mencapai sasaran ditetapkan," katanya.
-- BERNAMA
#vaksin #PPV IPT mega USIM #COVID-19 #imuniti kelompok