Pakatan Rakyat (PR) akan memfailkan 24 petisyen di kawasan Parlimen serta 10 petisyen di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berhubung keputusan pilihan raya umum ke-13, mulai hari ini.

Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli berkata di kawasan Parlimen, PKR akan memfailkan petisyen di 19 kawasan, PAS di empat kawasan dan DAP di dua kawasan.

Rafizi berkata di kawasan DUN pula, PKR akan memfailkan petisyen di satu kawasan dan PAS di sembilan kawasan.

“Petisyen membabitkan 24 kerusi Parlimen telah dan akan difailkan bermula hari ini sehingga hari Rabu.

“Bagi kerusi Bagan Datok, selain petisyen pilihanraya, satu petisyen berasingan difailkan berhubung kesalahan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zahid Hamidi, yang melanggar had perbelanjaan RM200,000 yang dibenarkan untuk sesuatu pilihanraya,” katanya dalam suatu kenyataan media.

Sementara itu, Rafizi turut berkata PKR akan turut memfailkan beberapa tindakan undang-undang akan difailkan dalam tempoh tiga minggu dari sekarang.

“Tindakan undang-undang termasuk saman terhadap Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar dan ahli-ahli SPR laindiatas kegagalan melaksanakan dakwat kekal.

“Kami juga akan memfailkan petisyen pilihanraya menuntut mahkamah menyemak senarai pengundi yang dicemari pengundi hantu di Sabah berdasarkan keterangan yang dibuat di Suruhanjaya Diraja setakat ini dan kajian dalaman PKR.

Pembangkang juga jelasnya akan mengambil tindakan undang-undang bagi mengisytihar pindaan Seksyen 9A Akta Pilihan Raya yang menghalang kesahihan daftar pengundi dicabar di mahkamah bertentangan (ultra vires) dengan Perlembagaan.

Berikut adalah senarai kawasan Parlimen yang akan difailkan dengan petisyen:

Difailkan oleh PKR

1. P014 Merbok
2. P018 Kulim Bandar Baru
3. P026 Ketereh
4. P029 Machang
5. P053 Balik Pulau
6. P072 Tapah
7. P075 Bagan Datok
8. P075 Bagan Datok (petisyen perbelanjaan melebihi RM200,000)
9. P092 Sabak Bernam
10. P118 Setiawangsa
11. P140 Segamat
12. P144 Ledang
13. P146 Muar
14. P158 Tebrau
15. P159 Pasir Gudang
16. P168 Kota Marudu
17. P177 Beaufort
18. P182 Pensiangan
19. P220 Baram

Difailkan oleh PAS

1. P093 Sungai Besar
2. P096 Kuala Selangor
3. P119 Titiwangsa
4. P161 Pulai

Difailkan oleh DAP

1. P078 Cameron Highlands
2. P142 Labis