KUALA LUMPUR: Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah berkenan supaya bendera peribadi baginda dikibar separuh tiang selama lima hari berturut-turut di Istana Negara bermula hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, ia sebagai tanda berkabung Seri Paduka Baginda di atas pemergian Almarhum Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Pemerintah Abu Dhabi, Sheikh Khalifa Zayed Al-Nahyan pada Jumaat.

“Seri Paduka Baginda turut menitahkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mengadakan majlis bacaan Yasin dan tahlil di masjid-masjid di Wilayah Persekutuan selama tiga hari bermula hari ini.

“Bacaan Yasin dan tahlil ini adalah untuk dihadiahkan kepada Almarhum Yang Mulia Sheikh Khalifa Zayed Al-Nahyan,” katanya dalam kenyataan tersebut pada Sabtu.

BACA: Agong titah bendera Pahang dikibar separuh tiang selama lima hari

BACA: Presiden UAE, Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan meninggal dunia

Allahyarham Sheikh Khalifa Zayed meninggal dunia semalam pada usia 73 tahun.

Sheikh Khalifa mengambil alih sebagai Presiden kedua UAE pada November 2004, menggantikan bapanya sebagai pemerintah ke-16 Abu Dhabi.

Dalam pada itu, Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah turut mengajak rakyat bersama Seri Paduka Baginda mendoakan agar roh Almarhum dicucuri rahmat Allah S.W.T dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh.

Beliau turut memaklumkan Seri Paduka Baginda berkesempatan menghubungi Putera Mahkota Abu Dhabi, Mohamed bin Zayed Al Nahyan menerusi panggilan telefon pada Jumaat, bagi menzahirkan ucapan takziah secara peribadi kepada beliau dan seluruh keluarga.

"Seri Paduka Baginda berkenan berangkat ke Abu Dhabi esok untuk bersama-sama ketua-ketua negara dan kerajaan lain untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum," tambahnya.

Seri Paduka Baginda dan Mohamed bin Zayed Al Nahyan adalah rakan kolej di Akademi Tentera Diraja Sandhurst pada tahun 1978 dan 1979 dan persahabatan akrab dijalin sehingga kini.

Almarhum Sheikh Khalifa Zayed meninggal dunia semalam pada usia 73 tahun.

Sheikh Khalifa mengambil alih sebagai Presiden kedua UAE pada November 2004, menggantikan bapanya sebagai pemerintah ke-16 Abu Dhabi.