IPOH: Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) mencadangkan kepada Perak FC supaya merehatkan ketua jurulatih Chong Yee Fatt dalam mengharungi baki enam perlawanan Liga Super pada musim ini susulan prestasi pasukan yang tidak memuaskan ketika ini.

Presidennya, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad berkata tindakan itu perlu untuk mencari formula baharu dan mengubah nasib pasukan tersebut yang tidak mustahil akan tersingkir ke saingan Liga Perdana jika terus dilanda badi kekalahan.

"Kita sendiri boleh lihat pencapaian Perak pada ketika ini yang boleh dianggap sebagai pasukan belasahan. Perkara ini kalau dibiarkan berterusan, kemungkinan besar kita akan tersingkir ke Liga Perdana.

"Cadangan saya ini juga bukan atas pandangan peribadi saya sendiri sahaja tetapi ia turut diluahkan oleh ramai penyokong bola sepak negeri sama ada secara terus kepada saya atau dalam platform media sosial," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Selepas mengharungi 16 perlawanan, Perak FC hanya mengutip 13 mata dan sekadar menghuni tangga kedua tercorot daripada 12 pasukan kelab yang bertanding dalam saingan Liga Super.

Beliau berkata penolong ketua jurulatih Perak FC Shahril Nizam Khalil boleh diberikan peluang untuk memangku tugas berkenaan buat sementara waktu memandangkan bekas pemain Perak itu juga mempunyai pengalaman luas dan telah bersama The Bos Gaurus sejak 2017.

"Shahril sudah bersama pasukan pada era Karl Heinz Weigang, kemudian Mehmet Durakovic dan bersama Yee Fatt ketika ini. Jadi, dengan pengalaman luas yang dia ada, kita boleh bagi peluang pada dia untuk bawa pasukan sementara Yee Fatt direhatkan.

"Mana tahu dengan perubahan ini kedudukan pasukan boleh berubah dan saya fikir bukan satu kerugian kalau kita cuba lakukan perkara ini demi mendapatkan kembali rentak pasukan," katanya.

Mengulas pelantikan bekas Pengurus Perak FC II Azman Noh ke jawatan Pengurus Besar Perak FC, katanya beliau berharap ia akan memberi impak yang positif kepada pasukan dalam memastikan misi The Bos Gaurus untuk terus kekal dalam Liga Super berjaya direalisasikan.

"Mahu atau tidak, ini satu tugas berat pada beliau. Dengan keadaan pasukan yang agak membimbangkan pada ketika ini, beliau perlu lakukan perubahan drastik dalam kadar segera. Tujuannya adalah untuk pastikan Perak tetap kekal bersaing dalam Liga Super," katanya.

-- BERNAMA