Sudah menjadi prinsip ahli-ahli UMNO selama ini untuk setia kepada Presiden parti.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kesetiaan kepada Presiden parti bukan merupakan punca UMNO dan Barisan Nasional kecundang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak.

Menurutnya, amalan UMNO sejak dahulu lagi adalah menyelesaikan sebarang masalah yang wujud secara dalaman untuk mengelakkan berlaku perpecahan dalam parti.

Beliau mengulas mengenai surat terbuka bekas presiden parti, Tun Dr Mahathir Mohamad yang meramalkan UMNO akan kalah pada PRU14 sekiranya sokongan terhadap Presiden Parti, Datuk Seri Najib Tun Razak secara berterusan.

Bekas perdana menteri itu membuat ramalan dalam satu surat terbuka kepada pemimpin dan ahli akar umbi Umno yang disiarkan menerusi blog peribadinya (www.chedet.cc.).

Dalam pada itu, Ismail Sabri masih tidak pasti sama ada Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Shafie Apdal akan hadir pada Perhimpunan Agung UMNO 2015 (PAU2015) yang bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini bermula 8 sehingga 12 Disember.

Ismail ditemui selepas merasmikan Kongres Pemerkasaan Luar Bandar di Kuala Lumpur, pada Selasa.