DAP mengakui Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari ini merupakan persaingan sengit memandangkan kawasan itu tidak pernah dimenangi Pakatan Harapan( PH).

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng bagaimanapun berkata parti itu akan mencipta sejarah baharu dengan menawan kerusi yang secara tradisinya dimenangi MIC.

Guan Eng berkata, pihaknya sedar MIC mempunyai kelebihan dan sukar bagi DAP mahupun Pakatan Harapan (PH) untuk menang di kawasan yang dikuasai MIC, namun ia bukan alasan untuk pihaknya menyerah kalah sebaliknya akan memastikan kemenangan berpihak kepada PH.

"Saya rasa itu satu perlawanan yang sengit... tentulah kelebihan kepada parti yang memegang kerusi ini iaitu MIC.

"Namun, kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk cipta sejarah memenangi kerusi ini supaya rakyat dapat merasai hasil ekonomi dan pembangunan yang lestari," katanya.

Dalam pada itu,Guan Eng berkata, DAP akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) untuk menentukan calon yang akan diletakkan di kerusi Parlimen berkenaan dan perkara itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Guan Eng yang juga Menteri Kewangan berkata persiapan rapi untuk menentukan calon terbaik perlu dilakukan sebelum 12 Januari ini.

Kerusi Parlimen Cameron Highlands yang sebelum ini dimenangi BN menerusi calonnya, Datuk C Sivarrajh pada PRU14 diisytiharkan kosong oleh Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lalu.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendapati wujud amalan rasuah yang diketahui dan mendapat keizinan Sivarraajh.

Terdahulu, M Manogaran dari PKR memfailkan petisyen pilihan raya pada 4 Jun lalu, memohon pengisytiharan keputusan PRU14 untuk kerusi Parlimen itu terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Manogaran mendakwa, Sivarraajh merasuah pengundi daripada komuniti Orang Asli untuk mengundinya.