Jentera Wanita UMNO akan menggerakkan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar secara berhemah termasuk menerusi laman sosial.

Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata kempen secara berhemah bukan sahaja dilakukan secara fizikal seperti dari rumah ke rumah, malah menerusi laman sosial.

"Jangan pula kita berhemah dari segi fizikal sahaja tetapi dalam media sosial seolah-olah tidak ada undang-undang, tak ada peradaban," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan calon Barisan Nasional (BN) Datin Mastura Mohd Yazid di kediamannya di Bukit Chandan di sini, malam ini.

Turut hadir bapa Mastura, Datuk Mohd Yazid Baba dan bapa saudaranya Tan Sri Dr Mohd Rashdan Baba.
Katanya, kedua-dua kempen perlu dijalankan mengikut tatasusila, beradab sopan dan tidak menggunakan PRK sebagai satu medan untuk perang politik.

Shahrizat berkata jentera wanita sentiasa bersedia untuk membantu calon BN di Sungai Besar dan Kuala Kangsar sepanjang kempen pilihan raya.

"Seramai 2,000 anggota wanita UMNO masing-masing ditempatkan di dua kawasan parlimen itu sepanjang kempen pilihan raya.

Gerak kerja wanita UMNO berjalan secara tersusun kerana dua kawasan itu mempunyai satu sistem yang sempurna yang mana wanita bertugas dan berkhidmat sepanjang masa," katanya.

Pilihanraya Kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar: Siapa bakal tercalon?


PRK Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian Anggota Parlimennya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan serentak pada 18 Jun, manakala penamaan calon pada Ahad.