Calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam yakin akan mendapat kerjasama daripada Pas dan jentera kedua-dua parti pembangkang itu akan mengadakan kempen bersama dalam masa terdekat.

Beliau berkata, pemimpin BN dan Pas pusat telah mengadakan perbincangan mengenai perkara itu dan keputusan akan diketahui dalam masa terdekat.

"Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga telah mengadakan perjumpaan dengan kepimpinan Pas Selangor serta kawasan sini dan saya optimis kerjasama ini akan dapat dijalankan," katanya kepada pemberita selepas program mendekati pengundi di sekitar Jalan Kebun di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kenyataan calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni bahawa beliau tidak gentar dengan kerjasama itu dan yakin akan memperolehi undi daripada pengundi Pas, Lokman Noor berkata calon PKR itu berhak untuk berasa yakin.

Bagaimanapun, tambah beliau, pengundi Pas lebih bijak untuk menilai apa yang terjadi terhadap institusi Islam sejak Pakatan Harapan memerintah negara ini.

"Isu sekolah tahfiz, pelantikan Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara, semua ini menjadi isu yang dibantah keras oleh anggota Pas, tetapi jika mereka (pengundi Pas) masih mahu mengundi Mohd Zawawi, ia terserah kerana itu hak mereka," katanya.

PRK DUN Sungai Kandis yang merupakan PRK pertama selepas pilihan raya umum ke-14, 9 Mei lepas, diadakan berikutan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

Dalam PRK itu 4 Ogos ini, Lokman Noor turut ditentang calon Bebas, K. Murthy.

-- BERNAMA