PRN-12: Sarawak akan diberi keutamaan vaksin COVID-19 - Fadillah

Astro Awani
April 10, 2021 11:47 MYT
Jelas Fadillah penting bagi Sarawak diberi keutamaan pemberian bekalan vaksin kerana negeri itu bakal mengadakan pilihan raya negeri selepas tamat tempoh darurat. - Astro AWANI
KUCHING: Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN-12) dijangka berlangsung setelah tamat perintah darurat pada 1 Ogos nanti.
Justeru kata Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, ia jadi asas kuat mengapa Sarawak perlu diberi keutamaan dalam pemberian bekalan vaksin COVID-19.
Jelas Fadillah, ini penting bagi mengelakkan berulangnya perkara tidak diingini dalam PRN Sabah sebelum ini.
“Pada Ogos nanti disasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus rakyat Sarawak telah divaksin.
“Jika sasaran ini tidak sampai, kita berdepan risiko sekiranya terpaksa mengadakan pilihan raya kerana bimbang apa yang berlaku di Sabah berulang,” katanya ketika berucap pada Program Malaysia Prihatin: Pengurusan Pandemik COVID-19 di sini pada Sabtu.
Beliau merujuk kepada gelombang baharu COVID-19 di Malaysia pasca PRN Sabah tahun lepas yang menyaksikan peningkatan mendadak kes positif di negara ini.
Tambah Fadillah perkara ini telah dibincangkan semasa lawatan kerja Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Sarawak minggu lalu.
Untuk rekod tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-11 akan berakhir pada 7 Jun 2021 dan pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh berkenaan.
#COVID-19 #vaksin #Fadillah Yusof #Muhyiddin Yassin #pilihan raya #Perdana Menteri #Sarawak #PRN-12 #Sarawak Memilih #gelombang baharu #perintah darurat