JOHOR BAHRU: Seramai 239 calon mewakili pelbagai parti dan individu, layak untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, calon yang termuda untuk PRN kali ini bertanding di DUN Mengkibol (Barisan Nasional), dan Tangkak (Parti Pejuang Tanah Air), masing-masing berusia 26 tahun.

Calon tertua pula, katanya lagi, berusia 71 tahun dan bertanding di DUN Bukit Permai bagi pihak Perikatan Nasional (PN).

Abdul Ghani berkata, Barisan Nasional dan Perikatan Nasional masing-masing bertanding di 56 kerusi, diikuti Pakatan Harapan (30), Parti Pejuang Tanah Air (42), Parti Keadilan Rakyat (20), Bebas (16), Ikatan Demokratik Malaysia (7), Parti Warisan (6), Parti Bangsa Malaysia (4), manakala Parti Bumiputera Perkasa Malaysia dan Parti Sosialis Malaysia masing-masing satu.

Pertandingan kali ini menyaksikan sekurang-kurangnya tiga penjuru di semua kerusi DUN, di mana tujuh DUN menyaksikan tiga penjuru, 35 DUN dengan empat penjuru, lapan DUN dengan lima penjuru, empat DUN dengan enam penjuru, dan dua DUN dengan tujuh penjuru.


BACA SEMUA BERHUBUNG PRN JOHOR DI SINI 



Dalam pada itu Abdul Ghani berkata, Prosedur Operasi Standard (SOP) Pencegahan COVID-19 bagi pelaksanaan PRN Johor telah diluluskan dan akan dilaksanakan dengan ketat di semua proses penjalanan pilihan raya.

“Tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan pilihan raya dipertandingkan oleh pegawai pengurus sehingga jam 11.59 malam, 11 Mac 2022.

“SPR telah menubuhkan 56 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) untuk memantau semua aktiviti calon bertanding ketika berkempen,” katanya lagi.