KUALA LUMPUR : Calon pilihan raya dari kalangan anak muda perlu membuktikan kepada pengundi bahawa mereka bukan sahaja pandai bercakap, tetapi juga disusuli dengan tindakan.

Penolong Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia, Kavita Maheendran berkata, langkah itu penting bagi mengubah persepsi pengundi terhadap kepimpinan sesetengah pemimpin terdahulu.

"Sebagai ahli politik, mereka perlu tunjukkan bahawa mereka bukan hanya bercakap, tetapi juga perlu disusuli dengan tindakan. Kepimpinan ini secara tidak langsung akan mengeluarkan suatu aura dan saya rasa rakyat yang melihat boleh tahu atau nilai sama ada ahli politik ini boleh jalankan tugas atau tidak," katanya kepada Astro AWANI pada Sabtu. 

Menurut Kavita, calon anak muda juga perlu sentiasa cekal hati dengan pelbagai cabaran yang dihadapi dalam menawan hati pengundi. 
 
"Saya nasihatkan calon muda supaya mereka cekal hati untuk menghadapi cabaran dan tunjukkan mereka tetap dengan pendirian sama ada kalah atau menang, atau mereka tidak putus asa terhadap perjanjian yang diberikan kepada rakyat.

"Selalunya mereka perlu faham iaitu cabaran menawan hati pengundi. Mereka perlu ubah persepsi rakyat terhadap pemimpin yang lepas. Apabila mereka dapat mengatasi cabaran ini dan konsisten dan inilah cara ahli politik untuk menang pilihan raya," ujarnya. 

Dalam pada itu kata Kavita, kekecewaan pengundi muda terhadap sesetengah pemimpin menyebabkan ada antara mereka yang tidak mahu membincangkan isu politik.

"Selalunya mereka akan mengundur diri (daripada terlibat dalam politik) . Namun kali ini ramai anak muda yang tawarkan diri dan mereka rasa mereka boleh menjalankan tugas walaupun wakil rakyat tidak dapat menjalankan tugas mereka, namun anak muda yakin mereka dapat melakukan sesuatu.

"Kalau tengok pada anak muda sekarang, apabila mereka ada kesedaran politik yang tinggi dan mereka rasa tanggungjawab mereka sebagai warganegara dan mengundi ini adalah tanggungjawab yang penting bagi mereka. Mereka perlu sedar yang setiap undi ini akan bawa perubahan. Saya pasti anak muda yang sedar akan perkara ini.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] PRN Johor: 239 calon bertanding, calon termuda bukan dari MUDA

"Kepada anak muda yang didaftarkan secara automatik sama ada mereka sedar atau tak mereka ini boleh mengundi atau tidak, yang itu kita kena tahu bahawa mereka sudah terima maklumat ini atau tidak," tambahnya.