KUALA LUMPUR: Isu penggunaan logo parti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah diselesaikan secara baik dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil memberitahu, keputusan itu diterima bersama semua parti gabungan itu.

Menurutnya, ia adalah percubaan untuk meneliti strategi untuk memenangi hati pengundi di kawasan itu.

"Saya lihat ini sebagai percubaan untuk meneliti strategi yang mungkin boleh memenangi hati pengundi. Pada masa yang sama akar umbi PKR telah memberi penegasan kepada pimpinan mengenai isu ini dan pimpinan juga memahami dan memberi ruang untuk akur.

"Yang penting ia adalah keputusan bersama, saya terlibat dalam siri mesyuarat Majlis Presiden PH dan mesyuarat menerima keputusan dengan baik, kalau tak tak keluar kenyataan bersama tempoh hari," katanya.

Beliau berkata demikian selepas memberi keterangan berhubung penyerahan memorandum mengaitkan isu pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini pada Jumaat. 

Sebelum ini, Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP dalam kenyataan bersama memaklumkan mereka menghormati keputusan PKR untuk menggunakan logonya sendiri pada PRN Johor.

Bagaimanapun mereka menekankan akan terus menggunakan logo PH dalam PRN itu kerana ia adalah cerminan gabungan yang teguh dan bersatu padu

Terdahulu,  PH membenarkan PKR menggunakan logo sendiri manakala Amanah dan DAP kekal menggunakan logo PH pada PRN Johor yang akan datang.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai penggunaan logo oleh calon menteri besar nanti, beliau memberitahu perkara itu belum dimuktamadkan lagi.