JOHOR BAHRU: Biarpun rundingan mengenai pengagihan kerusi sudah tamat antara PKR dan Ikatan Demokratik Muda (MUDA), namun masih ada ruang untuk kerjasama antara kedua-dua parti dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden PKR yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, buat masa ini fokus mereka ialah untuk memastikan kesemua calon PH mampu mendapat keyakinan rakyat, dan seterusnya menang di kerusi masing-masing.

Katanya, jika MUDA bersedia untuk menghayati semangat dan aspirasi yang sama, beliau tidak ada masalah untuk memastikan MUDA juga memperoleh kejayaan dalam PRN itu.

“Kita (PKR) bertanggungjawab untuk membantu rakan-rakan kita dalam PH untuk bersama mencatat kemenangan.

“Dan sekiranya MUDA ikut semangat manifesto yang sama, dan selesai masalah rundingan seperti sebelum ini, saya tidak ada masalah untuk pastikan calon MUDA juga turut menang dalam pilihan raya. Kita tunggu respons mereka dan saya percaya akan positif,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap melancarkan Jentera Pilihan Raya PKR PRN Johor, di sini malam ini.
SEMUA MENGENAI PRN JOHOR DI SINI


Anwar berkata, usaha untuk memecahkan semangat dalam pembangkang telah dilakukan oleh musuh-musuh politik sekian lama, dan perkara itu perlu ditangani dengan penuh waspada.

Katanya lagi, hanya dengan semangat perpaduan yang kukuh oleh semua pihak dalam kalangan pembangkang dapat mengelakkan mereka berpecah-belah.

Sebelum ini media melaporkan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh sebagai berkata, rundingan antara MUDA dan PKR sudah tamat.

Kenyataan itu dibuat selepas Anwar selesai mengumumkan calon parti untuk kesemua 20 kerusi yang telah diagihkan di bawah Pakatan Harapan.

DAP dan Parti Amanah Negara sebelum ini telah memberikan enam kerusi kepada MUDA.