JOHOR BAHRU: Biarpun rundingan antara Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dengan parti-parti lain sedang berjalan, namun Muda Johor menzahirkan harapan untuk bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan jumlah kerusi yang signifikan.

Pengerusi Muda Johor, Mohd Azrol Ab Rahani berkata, parti tersebut berterima kasih dengan 'ruang' yang ditawarkan oleh Pakatan Harapan (PH), namun, dalam masa sama Muda berharap memperoleh jumlah kerusi yang wajar selain menggunakan logo sendiri.

Dalam masa sama, Mohd Azrol berkata, Muda Johor akan mengikuti rapat perbincangan dan segala keputusan akhir akan ditentukan oleh pucuk pimpinan Muda serta Biro Politik parti itu.

“Kami sangat berterima kasih kepada PH untuk bersama-sama dalam satu pakatan untuk PRN kali ini. Tapi kami juga tekankan, kami ingin mengememukakan calon kami yang baharu dan segar, dan kami sangat mahu menggunakan logo kami sendiri.

“Segala perbincangan masih lagi diteruskan, dan keputusan ini adalah keputusan dari Biro Politik Parti Muda dan kami pimpinan Muda Johor, akan mengikuti segala keputusan yang ditetapkan,” katanya kepada Astro AWANI.

[LAPOR LANGSUNG] PRN Johor: Mesyuarat khas SPR 9 Feb, tentu tarikh penting

Pada 22 Januari lepas, Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, mereka telah mengadakan perbincangan dengan Muda bagi menjalin kerjasama dalam menghadapi PRN negeri itu.

Jelasnya lagi, kedua-dua pihak turut berbincang mengenai pengagihan kerusi, meskipun gabungan parti itu berpendirian tiada keperluan PRN di negeri itu diadakan ketika ini, namun, tetap bersedia jika pengumuman itu dibuat.

BACA: PRN Johor: PH akan bertanding 56 kerusi DUN - Anwar 

BACA: PH Johor, MUDA bincang kerjasama hadapi PRN 

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula dilaporkan berkata, gagasan berkenaan akan bertanding kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan berharap semua parti pembangkang dapat bersama-sama kali ini.

Tambah Anwar, strategi mengumpulkan semua parti pembangkang itu adalah untuk membawa perubahan di negeri Johor.

“Semua pembangkang bermakna Pejuang, Warisan dan Muda dan civil society yang lain... strategi kita mesti merangkul semua pembangkang,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi.

Mengulas lanjut, Mohd Azrol berkata, Muda Johor telah melakukan persiapan sejak dua tahun lepas untuk sebarang kemungkinan pilihan raya, dan persiapan itu merentasi seluruh Johor, biarpun setiap kawasan mempunyai demografi dan sosiologi yang berbeza.

Tegasnya lagi, Muda Johor telah mempunyai senarai calon yang berkebolehan, merentasi kaum serta latar belakang yang bersesuaian.

“Kami tidak ada satu sasaran yang utama, contohnya bandar-bandar sahaja. Kami memasuki semua kawasan, baik kampung, Felda, bandar atau luar bandar. Penerimaan terhadap kami di semua kawasan amat baik.

“Kami ada calon yang sangat aktif di bandar, aktif dengan penduduk di kampung... kriteria calon itu mereka yang memang sebati dengan penduduk setempat. Penerimaan mereka sangat baik, itu kriteria calon-calon yang ingin Muda ketengahkan,” jelasnya lagi.

Mengakui mungkin parti mereka tidak mempunyai sumber kewangan seperti mana parti-parti yang lebih lama, sama ada Barisan Nasional, Perikatan Nasional mahupun PH, Mohd Azrol berkata, itu bukan faktor utama untuk memenangi pilihan raya.

Katanya lagi, Muda Johor yakin dengan perubahan cara penerimaan rakyat Johor yang kini lebih terbuka, dan mampu mencerna isu-isu semasa, menjadikan peluang parti itu lebih cerah.