TANGKAK: Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak mengharapkan semangat gelombang ‘Bossku’ yang dipamerkan pada siri jelajahnya sepanjang tempoh berkempen pada Pilhan Raya Negeri (PRN) Johor dapat diterjemahkan pada hari pengundian 12 Mac ini.

Meletakkan keyakinan untuk menang besar pada pilihan raya kali ini, beliau bagaimanapun menegaskan jentera parti tidak boleh terlalu selesa dan mesti menggembleng usaha ke tahap maksimum sehingga tempoh terakhir kempen.

“Sambutan setakat ini Alhamdulillah dan saya harap semangat ‘Bossku’ ini dapat diterjemahkan dalam undi kepada BN nanti. Itu saya harap sangat.

“(Tetapi) pada saya sekarang ini kita perlu tumpu kepada kerja dan jangan rasa (terlalu) selasa kerana kita masih ada beberapa hari lagi (berkempen) dan jika (jentera) kerja bersungguh-sungguh dengan tertib serta semangat perpaduan, insya-Allah BN boleh berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan ‘walkabout’ di Pekan Bukit Gambir bersama calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, Sahrihan Jani, di sini hari ini.

Dalam pada itu, ditanya soal keyakinan menumbangkan kawasan-kawasan yang didakwa sebagai kubu kuat Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin katanya, meskipun sokongan pengundi terhadap BN kuat, namun beliau mengakui saingan sengit termasuk di DUN Gambir.

“Kita kena tumpu pada kerja (dahulu), dan kemudian kita tengok keputusannya. Tetapi memang saingannya sengit,” katanya ringkas.


Sementara itu, mengulas dakwaan Muhyiddin yang mengatakan kenyataan Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berhubung hutang 1MDB tidak dibayar menggunakan duit rakyat sebagai mencemarkan Dewan Rakyat katanya, dakwaan itu sesuatu yang mengarut.

Ini kerana jelasnya, pembayaran prinsipal hutang itu dibuat menggunakan dana Goldman Sachs.

“Itu bukan duit rakyat, duit Goldman Sachs duit rakyat ke? Di mana yang boleh dikatakan duit rakyat? Goldman Sachs duit Goldman Sachs lah, mana (pula) duit rakyat. Mengarutlah !” tegasnya.

Muhyiddin sebelum ini berkata, kerajaan sudah membayar hutang 1MDB berjumlah RM13.3 bilion setakat ini seperti yang telah diumumkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz pada Februari lalu.

Beliau kemudian mempertikaikan dakwaan Najib di Dewan Rakyat minggu lalu wang rakyat tidak digunakan untuk membayar hutang 1MDB selain turut mempersoalkan bagaimana Ahli Parlimen Pekan itu boleh ‘terlupa’ hutang tersebut dijamin kerajaan.

Baru-baru ini, Najib mendakwa dana awam tidak digunakan untuk membayar hutang 1MDB kerana pelbagai entiti, termasuk Goldman Sachs, firma audit KPMG dan Deloitte, Ambank dan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat sudah memulangkan dana 1MDB, berjumlah RM23 bilion kepada Malaysia.