SIMPANG RENGGAM: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) telah mengenal pasti beberapa nama calon yang layak untuk diangkat sebagai Menteri Besar jika parti itu diberi mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

Pun begitu, pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, nama individu tersebut hanya akan didedahkan jika Pejuang dan calon tersebut menang pada pilihan raya ini.

"Bagi Pejuang sesiapa jadi calon (Menteri Besar) itu bergantung kepada siapa yang menang.

"Kalau kita bagi nama pun, kalau dia kalah... dia tak boleh jadi Menteri Besar.

"Kita mempunyai beberapa nama calon yang bertanding sekarang, dan mampu memegang jawatan Menteri Besar. Apabila kita menang dan saya harap rakyat akan beri kemenangan kepada kita, maka ketika ini akan namakan Menteri Besar," katanya.

Dr Mahathir berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Program Aspirasi Johor di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Felda Air Hitam di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, di sini pada Khamis.

SEMUA MENGENAI PRN JOHOR DI SINI

Dalam masa yang sama, bekas Perdana Menteri itu berkata Pejuang telah membuat pemilihan bagi memastikan calon-calon yang dikemukakan pada PRN Johor kali ini adalah bersesuaian.

"Calon mesti setia kepada Pejuang, walaupun dia tidak dicalonkan, dia mesti menyokong calon yang telah diputuskan oleh parti.

"Keutamaan Pejuang bukan kemenangan calon, tetapi kemenangan kepada parti," ujarnya lagi.