KUALA LUMPUR: Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) mewajibkan semua yang berpotensi dijadikan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang untuk menjalani Ujian Psikometrik Anti-Rasuah (RBTAG).

Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata langkah tersebut sebagai membuktikan iltizam Pejuang dalam memerangi rasuah.

Tambah beliau, melalui ujian yang disarankan oleh pihak #RasuahBusters, Pejuang dapat memastikan calon-calon yang dihantar oleh parti itu adalah bersih, tidak terlibat dengan rasuah serta mempunyai tahap kebolehpercayaan yang tinggi berbanding calon-calon lain.

"Ujian ini juga merupakan komitmen Pejuang untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

"Dalam pada masa yang sama menzahirkan hasrat Pejuang untuk mengubah nasib bangsa dan negara dengan menjamin masa depan yang bebas rasuah, berintegriti serta mengembalikan kegemilangan Malaysia yang tercinta," demikian katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pejuang akan bertanding 42 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan majoriti Melayu pada PRN Johor nanti.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] PRN Johor: Jangan halang ceramah bersemuka - Majlis Presiden PH

BACA: PRN Johor: Penamaan calon 26 Feb, pengundian 12 Mac - SPR


Ia merupakan penyertaan pertama Pejuang dalam pilihan raya selepas menolak untuk bertanding dalam PRN Melaka dan PRN Sarawak sebelum ini disebabkan pandemik COVID-19.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon bagi PRN Johor adalah pada 26 Februari, undi awal (8 Mac), manakala hari pengundian ditetapkan pada 12 Mac.