KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menyaksikan buat kali pertama pengundi berusia 18 tahun atau Undi18 dibenarkan melunaskan tanggungjawab memilih pemimpin yang akan mentadbir negeri itu.

Di sebalik perubahan signifikan itu, malang sekali apabila pihak berwajib didakwa kurang mempromosikan Undi18.

Menurut penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abdul Muis, adalah sesuatu yang mengecewakan kerana promosi Undi18 sangat hambar dalam PRN Johor.

Katanya, sewajarnya perkara ini diberi perhatian serius kerana golongan pengundi muda yang kali pertama dibenarkan terlibat dalam proses demokrasi ini adalah yang sudah terdedah pada konsep pengundian.

"Mereka ini generasi muda biasa mengundi program realiti TV atau di kampus. Yang memperkasakan hak sivil, sepatutnya harus difikirkan. Kita tidak nampak satu promosi agresif dikemukakan oleh mana-mana pihak berwajib.

"Ia bagi memastikan mengundi ini bukan hanya dididik dan dipupuk tetapi juga dipromosikan secara giat dan lebih penting secara popular yang rapat dan dekat dengan persepsi dan minat orang muda," jelas Mujibu ketika ditemubual dalam program Johor Memilih terbitan Astro AWANI pada Sabtu.

Tambahnya, keputusan yang bakal diumumkan tidak lama lagi juga akan membuktikan bagaimana penerimaan anak muda mengenai parti politik.

Ujar Mujibu, menjadi harapan setiap pihak untuk menyaksikan kadar keluar mengundi tinggi kerana PRN Johor pertama kali melibatkan golongan itu untuk mengundi.

"Kita mahu menyaksikan kadar keluar mengundi tinggi bagi memastikan apa terjemah dalam undi itu merefleksi apa yang dimahukan dalam konteks bacaan undi.

"Kita teruja dalam PRN Johor kita mahu melihat arah mana trend pengundian anak muda berusia 18, 19 dan 20 tahun dan juga sudah tentu kita mahu melihat maklum balas dan persepsi mereka tentang politik," jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Mujibu berkata, berdasarkan pemerhatiannya sejak pagi sehingga tengah hari tadi di pusat membuang undi, ternyata rakyat Johor jelasnya amat teruja untuk terlibat dalam proses demokrasi itu.

"Mungkin keterujaan ini timbul disebabkan kelainan di PRN Johor berkait rapat lebih banyak parti yang established yang bertanding… ada Pejuang, Muda, Warisan selain penambahan pengundi sangat signifikan.

"Barangkali juga pengundi melihat apa mereka saksikan Melaka dan Sarawak itu memberi kemenangan mudah kepada penyandang.

“Bagaimanapun, kemenangan mudah itu mungkin tidak direfleksi secara tuntas dalam kotak undi, kerana kita nampak undi itu berdasarkan based voters di situ.

"Jadi ia tidak direfleksi… saya juga melihat perkembangan daripada dua PRN itu dengan isu semasa, isu pekerjaan, reformasi dilaungkan parti politik itu mungkin memberi keterujaan kepada pengundi baru," kata Mujibu lagi.

Malah PRN Johor, jelas Mujibu, boleh dilihat sebagai pentas ujian menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelak.

Sehingga pukul 2 petang tadi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan statistik keluar mengundi bagi PRN Johor mencapai 40 peratus.