KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa melaksanakan langkah-langkah penting yang dapat menggalakkan pengundi di luar kawasan turun mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Menurut kenyataan #UndiJohor, PRN yang dilaksanakan sebelum ini membuktikan, masih ramai yang terlepas peluang untuk mengundi susulan sekatan akibat pandemik COVID-19.

“Contohnya, dianggarkan terdapat 400,000 rakyat Malaysia yang bekerja dan menetap di Singapura sahaja. Daripada jumlah itu, 200,000 adalah pemilih yang layak mengundi dalam PRN Johor akan datang.

“Rakyat Malaysia, tidak kira di mana mereka tinggal, tidak seharusnya diketepikan daripada melaksanakan hak demokrasi ini,” kata #UndiJohor dalam satu kenyataan bersama semalam.

BACA SEMUA BERHUBUNG PRN JOHOR DI SINI 

Tegasnya, menjadi kewajipan SPR untuk berunding dengan rakyat Malaysia di luar negara dan pengundi luar bagi memahami kebimbangan dan cabaran ketika mengundi, terutamanya ketika situasi penularan COVID-19. 

Untuk itu, SPR digesa untuk memenuhi tuntutan berikut menjelang mesyuarat khas yang diadakan hari ini:

1. Membenarkan pengundi pulang mengundi

Adakah kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk memperluaskan inisiatif menerusi Lorong Perjalanan Vaksin (VTL) untuk pengundi pulang mengundi.

Waktu operasi di pusat mengundi perlu dilanjutkan untuk menampung urusan dan semakan syarat sewaktu aktiviti rentas sempadan.

2. Tubuhkan pusat mengundi di luar negara

Bagi mereka yang tidak dapat pulang ke tanah air, kedutaan dan Suruhanjaya Tinggi di negara masing-masing boleh menjadi pusat di mana pengundi menghantar undi pos mereka. Percaturan yang sama telah dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum ke-13.

3. Pengundian awal bagi pelajar di kampus 

Bagi pelajar yang kini berada di kampus dan sedang menjalani peperiksaan, kemudahan khusus perlu disediakan untuk memudahkan pengundian awal. Ini juga akan mengurangkan keperluan untuk mereka pulang ke kampung halaman untuk mengundi.

4. Membolehkan pengundian pos untuk pengundi Johor di Sabah dan Sarawak

SPR di negeri Sabah dan Sarawak hendaklah membantu mengutip undi dan menghantarnya ke Johor.

Kenyataan bersama ini dikeluarkan 43 badan persatuan termasuk Persatuan Pengundi Muda (Undi18), Research for Social Advancement (REFSA), Institute for Research & Development of Policy (IRDP), The Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS), Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

#UndiJohor merupakan sebuah inisiatif di bawah @UndiNegaraku dan @UNDI18MY untuk menggalakkan penglibatan anak muda Johor bagi membudayakan amalan demokrasi.


BACA: PRN Johor: Bersatu harap ada kelonggaran SOP, beri calon ruang berkempen

BACA: SOP PRN perlu seimbang antara penyuburan demokrasi dan kekang penularan - BN Johor

BACA: PRN Johor: SOP ditentukan oleh SPR, bukan kerajaan - Hishammuddin

BACA: PRN Johor: SPR, parti politik digesa tambah baik kaedah undi pos