KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memikirkan kaedah menggalakkan para pemilih yang layak mengundi keluar menunaikan tanggungjawab kerana peratusan setiap kali Pilihan Raya Negeri (PRN) boleh dikatakan agak rendah.

Bagi Pengarah Strategi KRA Group, Amir Fareed Rahim, kempen-kempen untuk mengajak rakyat Johor keluar menunaikan tanggungjawab membuang undi dilihat kurang memberangsangkan, meskipun terdapat tambahan 750,000 pengundi muda yang mengundi buat kali pertama.

“Individu yang berdaftar secara automatik ini pada zahirnya tidak mahu mengundi, namun secara tiba-tiba dibenarkan pula mengundi.

“Maka, ia sukar untuk meyakinkan mereka ini untuk keluar mengundi, yang pertama, memang kerana mereka tidak berminat untuk mengundi.

“Yang kedua, adakah Suruhanjaya Pilihan Raya memudahkan urusan keluar mengundi tersebut? Adakah mereka benar-benar menggalakkan orang keluar mengundi?

“Saya tidak lihat perkara itu, walaupun kita dalam kajian ada 750,000 pengundi, pengundi 18-20 tahun dan sebagainya, tetapi saya tidak melihat kempen-kempen yang dilakukan oleh SPR atau parti politik untuk mengajak 750,000 pengundi ini untuk pergi keluar mengundi,” jelas Amir.

Dalam pada itu, Amir berpandangan, parti-parti politik yang bertanding pada PRN Johor dilihat terlampau memfokuskan kepada kelompok pengundi baharu yang melibatkan seramai 750,000 pengundi.

Katanya, parti yang bertanding perlu juga mengkaji taburan pengundi melibatkan kalangan usia 20-29 tahun kerana ia sebenarnya memegang peratusan tertinggi.

“Jika saya dalam parti politik, parti itu perlu melihat dengan lebih cermat lagi. Ini adalah bank, vote bank, yang mungkin boleh mememangkan mereka di kerusi-kerusi yang akan berlaku pertembungan dengan sengit dan tipis.

“Kena bijaklah, di mana taburan, kalau kita bercakap tentang pengundi automatik, atau Undi18. Tidak semua kerusi itu ada Undi18 yang ramai.

“Maka, parti politik perlu kaji taburan pengundi dari kalangan usia 18-20 tahun, dan lagi satu pecahan di dalam subset pengundi kali pertama itu, yang berumur 20-29 tahun, banyak peratusannya,” ujarnya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Sabtu.