JOHOR BAHRU: Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menjalin kerjasama bagi memudahkan urusan rakyat Johor yang berada di Singapura untuk menjalankan tanggungjawab mereka mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Biarpun sukarelawan Undi18 dan 1 Third Media berada di dua negara berbeza, namun usaha mereka tidak sia-sia apabila berjaya membantu ribuan rakyat Johor di republik itu dengan membawa masuk kertas undi dari seberang tambak ke negeri ini.

Menurut wakil Sukarelawan Undi18, Mandeep Singh, pihaknya berbincang dengan 1 Third Media di Singapura bagi melaksanakan usaha mengumpulkan kertas undi pos itu secara maya sebelum kedua-dua NGO itu memulakan gerak kerja sejak 1 Mac lalu.

Mandeep berkata, mereka mengambil peluang daripada insiatif kerajaan melaksanakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) laluan darat memandangkan sempadan negara belum lagi dibuka.

Katanya, usaha itu dibuat bagi membolehkan semua kertas undi pos rakyat Johor di Singapura tiba sebelum Sabtu ini dan dikira sebagai undi yang sah.

"Hari ini adalah penyerahan kertas undi pos daripada rakyat Johor di Singapura yang juga pengundi Johor di sana yang telah mendaftar sebagai pengundi pos untuk PRN johor kali ini.

"Disebabkan sempadan negara masih tutup dan untuk mengelakkan kertas undi sampai lewat ke pusat pengundian, maka satu inisiatif dijalankan sukarelawan di Semenanjung Malaysia dan juga sukarelawan rakyat Malaysia yang berada di Singapura untuk membawa masuk kertas undi pos dari republik itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima bagasi berisi 1,021 kertas undi pos daripada wakil 1 Third Media, Mohd Hafeez A Jaz di Larkin Sentral di sini, hari ini

Difahamkan, seramai kira-kira 7,814 rakyat Johor di Singapura yang layak mengundi pos.

Mandeep berkata, setakat ini kira-kira 5,000 kertas undi sudah diterima pihaknya dari Singapura menerusi dua perjalanan iaitu hari ini dan Ahad lalu.

Manakala, katanya, pihaknya akan menerima baki kertas undi itu pada esok sebelum membuat penyusunan mengikut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk diserahkan kepada Pegawai Pengurus (RO) Pilihan Raya di setiap pusat pengundian.

Pada masa sama, Mohd Hafeez berkata, seramai 39 sukarelawan di Singapura mengambil peluang melaksanakan usaha itu sebagai satu tanggungjawab dan berasa bangga kerana ia pertama kali berlaku dalam sejarah pilihan raya negara ini.

"Alhamdulillah. Kami tidak merasakan ini satu beban, tetapi menganggap ia satu tanggungjawab daripada kami sebagai wakil rakyat Malaysia yang berada di Singapura untuk memudahkan urusan pengundian rakyat Johor yang berada di sana yang mengundi di negeri ini," katanya.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa adalah menjadi tanggungjawab pengundi pos untuk menghantar semula kertas undi dengan apa jua cara supaya diterima RO sebelum jam 5 petang, Sabtu ini.

Bagaimanapun, SPR menyeru agar pengundi pos menghantar undi mereka menggunakan saluran kurier yang sah dan dijamin keselamatannya.

Ia bagi mengelakkan undi pos lewat atau tidak sampai atau disalahgunakan pihak yang tidak bertanggungjawab.