JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad tidak mahu Kerajaan Negeri terus bergerak atas ihsan pembangkang, seperti yang terjadi pada masa kini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu berkata, sebagai contoh, beberapa rundingan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak dapat berjalan kerana majoriti tipis satu kerusi, serta faktor Speaker DUN merupakan parti pihak lawan.

Atas sebab itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu berkata, beliau perlu mendapatkan mandat baharu untuk memastikan UMNO dan BN dapat mentadbir negeri dengan stabil.

“Dan Speaker (Suhaizan Kayat) bukan daripada parti kerajaan, tetapi mungkin Speaker atas ihsan untuk pastikan kerajaan ini berjalan, maka undi penentu itu diberikan kepada kerajaan.

“Itu yang saya maksudkan kita bergerak atas ihsan (pembangkang), dengan satu majoriti kerusi, tidak boleh sesiapa pertikaikan bahawa Kerajaan Johor adalah berada dalam keadaan amat tidak stabil. Johor tak sepatutnya dalam keadaan sedemikian,” tegasnya lagi.

BACA: Sultan Johor perkenan bubar Dewan Undangan Negeri Johor

Awal hari ini, Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN, untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menurut satu kenyataan di Facebook, Baginda Tuanku Sultan berkenan telah menerima menghadap Hasni pada jam 5 petang di Istana Bukit Serene, Johor Bahru pada hari ini sebelum memberi perkenan.

Fasal 23 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 bahawa Dewan Negeri Johor Darul Ta’zim termansuh pada 22 Januari 2022.

Mengulas lanjut, Hasni berkata, beliau hanya mewarisi jawatan kerusi Menteri Besar, tanpa mendapat mandat yang sah melalui pilihan raya.

Tegasnya lagi, dengan mandat itu, beliau mahu membawa negeri dan rakyatnya menikmati satu era yang lebih berjaya, dengan pembangunan yang lebih mampan dan strategik untuk kemakmuran semua pihak.

“Sewaktu saya menerajui kerajaan negeri, saya (hanya) warisi kepimpinan negeri, I have big shoes to fit in, yang ditinggalkan oleh pemimpin Barisan Nasional dahulu. Maka saya, tak mahu melihat Johor sebagai just an ordinary state, especially during under my watch.

“Saya ingin lihat Johor maju, negeri yang rancak perancangannya, dan untuk tujuan itu saya perlukan a fresh mandate.  Saya perlu mendapat semula mandat dari rakyat Johor.

“Bagaimana kerajaan yang kuat dapat membantu negeri dan rakyat Johor, untuk lebih maju berjaya, dan berdasarkan kepada strategik Johor dan potensi Johor. Maka pilihan raya negeri ini dianggap usaha untuk mendapatkan semula mandat rakyat,” katanya lagi.