KUALA LUMPUR: Akuan bersumpah yang ditandatangani semua calon bebas yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah bukti keseriusan mereka membawa kestabilan dalam kerajaan yang terbentuk selepas 20 Nov nanti.

Menurut calon bebas N.18 DUN Ayer Molek, Ahmad Muaz Idris, mereka tidak bergerak secara sendiri tetapi sebagai satu unit di bawah Gagasan Bebas yang mendukung matlamat yang sama.

Atas dasar itu, mereka sepakat mengikat janji untuk tidak berpaling tadah kepada mana-mana parti seandainya mendapat mandat daripada rakyat kawasan ditandingi masing-masing supaya kemelut yang membelenggu negeri itu dapat ditamatkan buat selamanya.

“Ini sangat jelas yang mana dalam akuan bersumpah yang kita tandatangani pada Rabu menunjukkan bahawa kami tidak akan sesekali lompat parti atau menyertai mana-mana parti politik.

“Andai kata calon bebas ini (yang dipilih menjadi perwakilan sesebuah DUN) lompat parti, kita akan kosongkan kerusi DUN serta merta dan rakyat boleh saman kami di mahkamah sekiranya kami melanggar dan mengingkari sumpah ini.”

BACA: PRN Melaka: Gagasan Bebas umum manifesto 

BACA: PRN Melaka: 13 calon Bebas sah tandatangani akuan bersumpah 

Jelas Ahmad Muaz, inilah yang membezakan mereka dengan calon-calon bebas dalam pilihan raya yang pernah diadakan sebelum ini, mendakwa mereka yang pertama dalam sejarah negara yang berbuat demikian.

Bagaimanapun, seandainya berlaku situasi di mana tiada pihak yang dapat membentuk majoriti nanti, mereka sedia berpakat dengan pihak yang bersetuju dengan prinsip dan tuntutan mereka.

Selepas itu, dengan kerajaan yang terbentuk itu akan digerakkan usaha menggubal undang-undang berkaitan anti-lompat parti dalam sidang DUN Melaka nanti.

Tonton sesi penuh Dialog Tiga Penjuru pada Rabu yang dihoskan oleh Dzulfitri Yusop, di sini:

PRN Melaka: Akuan sumpah Gagasan Bebas dapat jamin kestabilan politik

Dialog Tiga Penjuru: PRN Melaka | Pilih, Stabil, Pulih