JOHOR BAHRU: Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bakal menjadi petunjuk kepada masa depan gabungan politik UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional (MN), kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Noh Omar.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor berkata, ia berikutan PRN itu bakal menyaksikan beberapa pertembungan sengit tiga penjuru termasuk membabitkan Pas dan UMNO.

Menurutnya, pertembungan itu tidak dapat dielakkan selepas rundingan bersama parti yang lain tidak mencapai kata sepakat.

Tambahnya, pertembungan dalam PRN Melaka akan mengambarkan situasi yang bakal berlaku ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

"Kita di Selangor memang kita dah umum kita hendak MN. Tapi walau bagaimanapun oleh kerana PRN Melaka, nampaknya tak boleh elak tiga penjuru.

"Jadi di sini kita akan lihat sama ada bertemu tiga penjuru ini akan mendatangkan faedah kepada siapa. Dan di sini, kesan daripada PRN ini akan menjadi contoh pada PRU15 akan datang," katanya pada sidang media di sini, hari ini.


Politik | Muafakat Nasional berkubur selepas PRN Melaka?

BACA: Pas tidak berhasrat undur diri daripada Muafakat Nasional - Tuan Ibrahim

BACA: PRN Melaka: Pas kecewa BN, UMNO tanding semua kerusi - Tuan Ibrahim

Noh berkata, keputusan PRN Melaka akan memberikan impak besar buat MN sekali gus menjadi penanda aras buat masa depan gabungan tersebut.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa semua pihak harus tunggu dan lihat situasi di PRN Melaka itu sebelum menentukan masa depan gabungan MN.

PRN Melaka bakal menyaksikan pertembungan antara BN, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) yang meletakkan calon masing-masing untuk bertanding.

Semalam, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, menzahirkan rasa kecewa dengan keputusan BN dan UMNO yang mengumumkan bertanding di semua kerusi pada PRN Melaka.

Tuan Ibrahim dilapor berkata, usaha penyatuan yang dibuat kelihatan sangat positif pada awal namun gagal pada hujungnya.

Hari ini, beliau menegaskan Pas tidak berhasrat untuk mengundur diri daripada MN meskipun berlaku pertembungan kerusi pada PRN Melaka, sebaliknya berkata parti itu akan terus memperkasakan MN yang menjadi medan besar untuk penyatuan ummah.