MASJID TANAH: Jentera Barisan Nasional (BN) telah bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka seperti yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Demikian jelas Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh ketika ditemui Astro AWANI pada Isnin.

Katanya, meskipun kaedah belum ditetapkan oleh SPR serta Majlis Keselamatan Negara (MKN), namun diharapkan agar kematangan politik di negeri itu boleh menjadi contoh dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

"BN sudah bersedia dengan jentera pilihan raya yang kita bakal hadapi. Semua bilik gerakan dan jentera telah bersedia, kita harapkan semua parti dapat gunakan platform ini bukan tempat untuk menabur fitnah dan keburukan orang... (malah) BN akan bersama-sama dengan visi membela rakyat.

"Kita harap kali ini kita bersama rakyat Melaka menunjukkan kematangan politik bermula dari Melaka. Saya tak mahu teka-teki apa bakal diperincikan SPR, tetapi Melaka telah masuk Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Sekiranya Fasa 4 ini boleh memberikan satu perkembangan yang baik dalam kaedah berkempen, saya rasa rakyat Melaka boleh berkempen dan boleh keluar seperti biasa," jelasnya.

Bagaimanapun tambah Ab Rauf, BN akur dengan sebarang ketetapan SOP dan kaedah yang akan diperkenalkan SPR kelak.

Mengulas lanjut sasaran SPR sebanyak 70 peratus pengundi keluar dalam PRN Melaka, jelas Ab Rauf, BN mengharapkan agar rakyat dapat memilih pemimpin yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat.

"Sasaran untuk pengundi datang mengundi kalau ikut sasaran SPR adalah 70 peratus, tapi jentera parti kita sasarkan lebih daripada itu," katanya.