MELAKA: Pastikan diri telah lengkap vaksin dan membuat ujian kendiri COVID-19 jika bergejala, itu antara nasihat Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Melaka Dr Rusdi Abd Rahman kepada pengundi luar dari Melaka, sebelum pulang untuk menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 Nov ini.

Beliau berkata walaupun dari segi vaksinasi, seseorang individu itu mungkin berhak untuk tidak mengambil vaksin, tetapi risiko kepada ahli keluarga lain harus diambil kira.

"Jika dilihat dari segi prosedur operasi standard (SOP) negeri di Pelan Pemulihan Negara (PPN), hanya mereka yang lengkap vaksin boleh merentas negeri, oleh kerana tiada SJR (sekatan jalan raya) mereka mungkin boleh terlepas.

"Tapi risiko ibu bapa yang mereka peluk, seboleh-bolehnya jika merancang untuk balik pastikan telah vaksin walaupun selepas pilihan raya," katanya ketika ditemu bual dalam rancangan #BICARAKHAS mengenai 'Undi Dengan Selamat' di RTM malam tadi.

Katanya, bagi ujian kendiri, individu boleh membeli kit ujian yang diluluskan di pasaran, dan jika didapati positif mereka perlu membatalkan rancangan untuk pulang dan mengikuti langkah yang digariskan Kementerian Kesihatan (KKM) termasuk kuarantin di rumah.

Sementara itu, mengulas mengenai kompaun yang dikenakan kepada pihak yang menganjurkan kempen PRN Melaka melibatkan parti politik walaupun ia di kedai makan, Dr Rusdi berkata kaedah tersebut dikhuatiri mempunyai risiko jangkitan yang amat tinggi.

"Jika ada di sebuah gerai makan, yang ramai orang makan, sudah tentu buka pelitup muka sebab nak makan, kemudian mereka akan sembang dekat, berbisik-bisik, mungkin bincang pasal parti.

"Mereka juga duduk lama, datang pula ramai orang nak bergambar dengan pemimpin mereka, duduk dekat-dekat dan saya merasakan kempen cara ini perlu dijauhi," katanya.

Dr Rusdi juga menasihatkan supaya dua hari berbaki kempen dijalankan dengan kaedah lebih selamat secara dalam talian atau menggunakan kenderaan siar raya bergerak.

Katanya walaupun beliau memahami keluhan calon dan jentera parti kerana SOP yang ketat beliau merayu dalam 48 jam mendatang pihak berkenaan tidak melanggar SOP dan mengikut garis panduan disediakan.

Dr Rusdi berkongsi data pada Rabu dengan Melaka mencatat 135 kes berbanding 116 hari sebelumnya dengan kes aktif 1, 465 menjadikannya kadar insidennya ketiga tertinggi di Malaysia kerana penduduknya tidak ramai.

Katanya kes harian sepanjang dua minggu lepas mencatat 150 hingga 200 kes dan kadar penggunaan katil berada pada 82.3 kes dan penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) pula pada kadar 67.4 peratus manakala nilai Rt pula berada pada paras 0.95 berbanding nilai Rt nasional 1.04.

-- BERNAMA