MELAKA TENGAH: Sukar digambarkan perasaan bagi sesetengah penduduk di Taman Bukit Beruang Bestari, Ayer Keroh, Melaka apabila salah seorang jiran tetangga mereka meninggal dunia sewaktu seluruh negara menyambut Aidilfitri tahun ini.

Lebih menghibakan, pemergian jiran mereka itu hanya mampu dilihat begitu saja, kerana pergerakan penduduk terkekang dek dua perkara – banjir kilat, serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mei lepas.

Wakil penduduk Taman Bukit Beruang Bestari, Adlan Ali berkata, jirannya itu meninggal dunia pada waktu Subuh, tetapi mereka perlu menunggu ketibaan petugas kesihatan, kerana khuatir dengan penularan COVID-19 ketika itu.

“Kami tak dibenarkan sentuh, atau mengalih jenazah ... perlu tunggu petugas kesihatan tiba. Subuh meninggal, apabila petugas datang, hari sudah terang. Tentera datang keluarkan jenazah, pindahkan ke trak polis, waktu dah Zohor.

“Kami suarakan pada mereka dah tengah hari, segerakan urusan pemeriksaan ujian COVID-19 semua ni. Hospital kata esok baru tahu keputusan ...  Sedangkan jenazah dah lama, kami tak boleh nak sentuh,” luahnya lagi.

Adlan berkata, itu merupakan antara permasalahan yang ditanggung di kawasan perumahan beliau, dengan tahun ini sahaja taman itu telah dilanda banjir besar empat kali – Mei, Julai, Oktober, dan November – tidak termasuk banjir kecil yang lain.

Banjir, Bukit Beruang Bestari, Adlan Ali, PRN Melaka

Katanya lagi, yang menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan penduduk ialah pihak Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Jabatan Perairan dan Saliran, serta konsultan terlibat, mengatakan punca banjir tersebut ialah kerana limpahan air dari kolam takungan, berpunca dari Sungai Putat.

Namun, Adlan berkata, alasan itu tidak masuk akal, kerana sewaktu banjir melanda, mereka sudah beberapa kali mengambil bahan bukti seperti rakaman video, dan gambar, yang menunjukkan tiada langsung limpahan dari sungai tersebut.

“Kalau tuan-tuan, puan-puan lihat, Jalan BBB 4, 5, dan 6 ini merupakan kawasan paling rendah, dan menyebabkan ia menjadi kawasan limpahan air bertakung. Dan ini bukannya dari sungai, tetapi dari taman-taman perumahan yang lebih tinggi,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali membuat tinjauan di kawasan tersebut.


Sulaiman, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu terdahulu memberitahu pemberita, fenomena hujan yang melanda Melaka agak luar biasa, dengan kenaikan taburan hujan antara 140mm ke 150mm berbanding 30mm ke 40mm pada hari biasa.

Namun, Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, beliau mendengar pandangan yang diutarakan penduduk, khususnya dari Adlan sendiri, dan menggesa MPHTJ serta JPS, untuk melibatkan penduduk dalam mesyuarat berhubung isu banjir tersebut.

Selain itu, beliau mengarahkan agar kerja-kerja awal projek tebatan banjir itu dilaksanakan selewat-lewatnya pada 3 November.

Sulaiman turut mengumumkan pemberian rebat bagi 21,000 akaun di bawah Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) di seluruh negeri, yang terjejas akibat banjir, serta kesediaan menaikkan bantuan one-off bencana bagi mangsa banjir.

Dalam pada itu, Adlan berkata, beliau hairan mengapa pihak Kerajaan Tempatan, tidak melibatkan penduduk dalam perbincangan, sebaliknya terus membuat kesimpulan bahawa kolam berhampiran merupakan punca banjir di kawasan itu.

“Bila lewat bayar cukai pintu, notis, denda lewat, laju saja. Dikenakan kepada kita. Jaminan Ketua Menteri tu jaminan beliau, tetapi berapa banyak Ketua Menteri boleh pecahkan tubuh beliau untuk kawal, pergerakan pegawai dan agensi terlibat?

“Sebelum ini pada bulan Mei kata, depan CM (Ketua Menteri), PBT mengaku mesyuarat minggu sama, tapi hasil mesyuarat kami tak tahu. Kami dengan ini menuntut mana minit mesyuarat, apa kamu bincangkan. Ketua Menteri kata libatkan penduduk, tak pasti wakil penduduk mana dia panggil,” soal Adlan lagi.

Adlan berkata, beliau dan penduduk di kawasan berkenaan sanggup menerima jika ada perancangan kerajaan untuk memindahkan mereka, dengan harapan kawasan baharu itu nanti setara dengan kerugian yang mereka alami.