KUALA LUMPUR : Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang rendah berkemungkinan boleh mencetuskan kembali gelombang COVID-19 di negara ini.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, berdasarkan pemerhatian pihaknya, tahap pematuhan SOP PRN Melaka kelihatan agak longgar.

“Kita bimbang PRN Melaka yang bermula daripada proses penamaan calon hingga hari pengundian melibatkan pergerakan yang besar dan pengalaman sewaktu PRN Sabah menunjukkan perkara itu (jangkitan) boleh berlaku.

“Kita perhatikan bahawa kempen PRN Melaka terdapat kelonggaran dari sudut pematuhan SOP yang akan menambahkan lagi risiko,” katanya kepada Astro AWANI pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Dr Zainal turut berpendapat, trend jangkitan kes harian juga telah mula menunjukkan peningkatan semula yang berkemungkinan mencetuskan gelombang baharu dalam masa terdekat.

“Kes harian agak meningkat berbanding purata sebelum ini sebanyak 4,000 kes dan kini telah kembali pada angka 6,000 kes.

“Ini adalah petunjuk bahawa jangkitan kes akan berlaku termasuk kemasukan pesakit di hospital yang mula menerima kedatangan pesakit yang berlebihan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, cadangan untuk membuka semula sempadan negara kepada pelancong asing perlu diteliti dan dilakukan secara berperingkat.

Perkara itu ujar Dr Zainal adalah bagi memastikan tahap vaksinasi sesebuah negara luar selain kadar kes harian di negara tersebut dapat dikenal pasti sebelum membenarkan kemasukan pelancong ke negara ini.