KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan parti itu belum memuktamadkan calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November nanti.

Bagaimanapun, katanya beliau dan Naib Presiden PKR, Tian Chua sudah melakukan perbincangan dan melakukan proses saringan calon daripada setiap peringkat pada Ahad.

“Saya sendiri semalam ada berbincang dengan saudara Tian Chua dan beberapa yang lain yang datang berbincang calon-calon ini.

“Namun, saya masih belum memuktamadkan lagi. Tetapi proses saringan itu akan dibuat daripada peringkat cabang bahagian, Jabatan Pilihan Raya Negeri (JPRN), Jabatan Pilihan Raya Parlimen (JPRP) sehinggalah peringkat pusat.

BACA: PRN Melaka: Kreadibiliti PH akan tercalar jika ambil tiga bekas ADUN - Penganalisis 

BACA: SOP PRN Melaka: 'Naik lori cakap sorang-sorang' - Anwar 

“Dan tentunya kalau saya diberi pilihan, ia sesuatu yang sangat sukar kerana saya tahu setiap kali pilihan raya, ada yang kesal dan ada juga orang yang tidak berkawan dengan saya,” ujarnya yang juga Presiden PKR.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Bilik Gerakan Utama PRN DUN Melaka secara maya pada Isnin.

Selain itu, beliau menasihatkan semua pihak supaya bersabar dan bijak membuat keputusan berkaitan pemilihan calon agar tidak menyesal di kemudian hari.


PRN Melaka | Pembangkang kesal SOP tak boleh kempen