KUALA LUMPUR: Sah, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan dilangsungkan pada 20 November ini selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tentang itu pada Isnin.

Sudah pasti ia mencetuskan kerisauan khususnya dalam kalangan rakyat Melaka yang perlu keluar mengundi pada tarikh tersebut, ketika negara masih belum benar-benar pulih daripada ancaman COVID-19.

Begitupun, penganalisis politik, Dr Muhammad Tawfik Yaakub berpendapat ia wajar diadakan memandangkan keadaan ketika ini sudah berbeza, jika hendak dibanding dengan ketika PRN di Sabah dahulu.

“Apa yang berlaku di Sabah itu diadakan pada September 2020, ketika itu vaksinasi masih belum berlaku dan ia hanya bermula pada 2021.”

Beliau yang juga pensyarah kanan Universiti Malaya (UM) itu juga menyatakan PRN Melaka ini adalah waktu yang sesuai untuk kita belajar untuk mengendali dan menghadapi pilihan raya pasca vaksinasi di era endemik.

“Saya sebenarnya suka menerima PRN Melaka ini supaya kita belajar bagaimana untuk mengatur sebuah pilihan raya dalam konteks pandemik, kita mematuhi disiplin dan SOP yang ditetapkan oleh SPR.

“Biarlah SPR menentukan tugasnya, jangan kita berpolemik serta menyebabkan persepsi-persepsi negatif kepada perjalanan dan kesuburan demokrasi yang hendak dianjurkan, khususnya kali pertama apabila kadar vaksin cukup tinggi di negara kita hari ini.”

Dr Muhammad Tawfik menjadi tetamu dalam program Agenda AWANI pada Isnin.

Tonton di sini:


PRN Melaka: Waktu untuk belajar adakan pilihan raya era endemik - Dr. Tawfik Yaakob

Agenda AWANI: Melaka Memilih | Persaingan bermula