GOMBAK: "Mudah-mudahan menang."

Demikian ucapan ringkas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ditemui media di pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu di sini hari ini.

Beliau tiba di kira-kira jam 8.20 pagi mengiringi calon DUN N.18 Hulu Kelang yang juga Pengarah Pilihan Raya PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Turut diiringi, calon DUN N.17 Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham yang juga penyandang kerusi tersebut dan calon N.16 DUN Sungai Tua, Muhammad Hanif Jamaluddin.

PRN Selangor menyaksikan seramai 138 calon dari pelbagai parti politik akan berentap bagi merebut 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional menampilkan 20 calon dari PKR, 15 dari DAP, 12 dari BN dan sembilan dari AMANAH.

Manakala PN menampilkan 31 calon dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), 17 dari Pas dan lapan kerusi ditandingi Gerakan.