KUCHING: Apa-apa pendirian muktamad Gabungan Parti Sarawak (GPS) berhubung persefahaman dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN Sarawak) akan diumumkan pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Ketua Whip GPS di Parlimen, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata setakat ini gabungan melibatkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), memang akan bertanding di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Sarawak nanti.

Beliau berkata GPS akan meletakkan calonnya di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen dalam negeri, namun mereka tetap ada persefahaman dengan Bersatu.

"Pendirian muktamad (akan diumumkan) oleh Ketua Menteri (Abang Johari)," katanya dalam sidang media selepas menghadiri program Malaysia Prihatin di sini, hari ini.

Beliau yang juga Naib Presiden Kanan PBB berkata demikian semasa ditanya pendirian GPS berhubung ura-ura Bersatu bercadang untuk bertanding dalam PRN Sarawak nanti yang dijangka akan diadakan sebaik sahaja berakhirnya tempoh darurat ekoran penularan COVID-19 sekarang.

Bersatu menduduki salah satu kerusi DUN di negeri ini menerusi ADUN Krian, Datuk Ali Biju, yang memenangi kerusi berkenaan sebagai calon PKR dalam PRN ke-11 yang diadakan pada tahun 2016.

Ali yang juga Anggota Parlimen Saratok dan Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli bertindak untuk menyertai blok yang diketuai Datuk Seri Azmin Ali selepas keluar dari PKR dalam bulan Februari tahun lepas, sebelum menyertai Bersatu pada bulan Ogos.

Selain beliau, seorang lagi Ahli Parlimen dari Sarawak, Datuk Willie Mongin yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan mewakili Parlimen Puncak Borneo, turut mengambil langkah yang sama.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai Projek Lebuh Raya Pan Borneo, Fadillah yang juga Menteri Kanan Kerja Raya berkata pada masa ini projek berkenaan berada pada tahap 60 peratus siap di Sarawak dan 45 peratus siap di Sabah.

Projek itu yang sebelum ini dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2022 telah tertangguh akibat penamatan Rakan Pelaksana Projek (PDP) itu sebelum ini.

"Saya jangka projek ini akan tertangguh bagi tempoh setahun setengah. Ketika ini kami sedang mencari jalan bagi melantik syarikat baharu bagi membantu JKR Sarawak memantau pelaksanaan projek," katanya.

Projek Pan Borneo Sarawak yang bermula dari Telok Melano ke Lawas melibatkan kos pembinaan sebanyak RM16.117 bilion.

-- BERNAMA