KUALA LUMPUR: Pertemuan antara dua bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi merintis kerjasama gerakan Proklamasi Orang Melayu disifatkan tidak akan menggugat sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ‘kelompok-kelompok tertentu’ akan sanggup melakukan apa sahaja demi mempertahankan cara mereka.

“Bukan perkara baharu kelompok itu akan tetap bersekongkol untuk pertahankan cara mereka dan harta mereka.

“Kita bertanggungjawab untuk menyelamatkan negara,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melancarkan versi baharu aplikasi i-Akaun KWSP pada Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa Ke-10 2023 (ISWC 2023), di ibu negara, hari ini.

Anwar berkata demikian sebagai menjawab soalan adakah pertemuan dua tokoh itu akan memberi kesan kepada PH menjelang PRN di enam negeri yang akan berlangsung pada 12 Ogos ini.

Pada Selasa lalu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Proklamasi Orang Melayu dan Muhyiddin mengadakan pertemuan hampir dua jam.

Menurut Pengerusi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, perjumpaan dua pemimpin itu bakal memberi semangat baharu dalam usaha memperkasakan serta mengukukuhkan kedudukan orang Melayu.

Sementara itu, mengulas keputusan MCA dan MIC untuk tidak bertanding pada PRN akan datang, Anwar berkata, perkara itu tidak menjejaskan perancangan jentera parti komponen lain dalam Kerajaan Perpaduan.

Jelas Anwar, kedua-dua parti komponen Barisan Nasional (BN) itu tetap memberi sokongan kepada jentera kerajaan.

"Kedua-dua Presiden MCA dan MIC ada menghubungi saya dan menyatakan pada peringkat ini mereka tidak bertanding, tetapi akan tetap memberi sokongan (Kerajaan Perpaduan). Saya fikir itu dalam bidang kuasa BN.

"Saya ucap terima kasih (kerana) membantu dan masih mempertahankan kedudukan Kerajaan Perpaduan," kata Perdana Menteri lagi.

MCA dan MIC pada Rabu mengumumkan untuk tidak bertanding di dalam PRN meskipun Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan semua parti komponen diberikan kerusi.