KUALA LUMPUR : Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) bersetuju untuk melantik pemimpin dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjadi Menteri Besar di Selangor dan Negeri Sembilan jika gabungan itu menang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Pengerusi PN yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagi di Pulau Pinang pula, ia masih di peringkat perbincangan.
 
"Selangor, Negeri Sembilan akan dipimpin oleh Bersatu. Maknanya, kalau kita berupaya membentuk kerajaan (negeri), maknanya, maka di situlah Bersatu akan mentadbir negeri sebagai Menteri Besar.

"Pulau Pinang,  kita akan perhalusi dan teliti macam mana keadaannya. Ada pihak kata sukar untuk kita menang tetapi kita boleh, kalau nak kurangkan majoriti itu," katanya semasa sidang media selepas penggulungan Perhimpunan Agung Tahun Bersatu 2022 di Menara PGRM, Cheras di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, PN mungkin akan menggunakan prinsip sama dalam soal pengagihan kerusi PRN antara gabungan parti.

“Sebagai contoh, kerusi yang disandang pihak Pas mungkin boleh dikekalkan, kalau DUN, begitu juga di pihak kita. Kecuali, jika ada persefahaman membuat pertukaran, maka peringkat jawatankuasa perundingan kerusi akan bincang. 

“Bagi kerusi-kerusi PRN yang tidak dimiliki sesiapa kecuali parti pembangkang sebelah sana, seperti UMNO, PKR dan lain-lain, maka itulah kerusi yang akan kita rundingkan. Siapa nak dapat kerusi itu akan diputuskan dalam perbincangan nanti,” katanya lagi.