UMNO menyelar pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Datuk Seri Hajiji Mohd Noor akan diangkat sebagai Ketua Menteri jika Gabungan Rakyat Sabah menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.

Ketua Penerangannya, Shahril Sufian Hamdan berkata, perkara itu tidak dibincangkan bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Apa yang lebih penting, tegas Shahril, satu perbincangan bersama perlu dilakukan bagi meleraikan isu ini.

“Antara pertimbangan untuk menjadi Ketua Menteri adalah wakil rakyat itu dari kalangan calon parti yang menang besar pada PRN nanti.

“Setakat yang dipersetujui, jawatan Ketua Menteri juga dipilih dari kalangan para Ahli DUN (Dewan Undangan Negeri) Gabungan Rakyat Sabah yang menang pada PRN Sabah nanti,” katanya dalam kenyataan menerusi aplikasi WhatsApp pada Sabtu.

Shahril dalam masa sama turut memohon agar tiada mana-mana parti mendahului dan menguji persabahatan dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan berbaur provokasi.

Hari ini, Muhyiddin memberi bayangan Hajiji sebagai bakal Ketua Menteri Sabah yang baharu sekiranya gabungan itu menang pada PRN pada 26 September ini.

Keputusan itu juga dicapai melibatkan parti komponen Perikatan Nasional (PN) iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (Star); Parti Maju Sabah (SAPP) dan Bersatu.


BACA: PRN Sabah: Muhyiddin beri bayangan Hajiji KM Sabah, jika menang

Mengulas kenyataan Perdana Menteri juga, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jawatan Ketua Menteri Sabah akan dipilih oleh ADUN Sabah dan rakan kongsi politik apabila menang dalam PRN itu.

Menurut beliau, calon Ketua Menteri hanya akan diputuskan apabila cukup bilangan kerusi bagi pembentukan kerajaan negeri yang baharu.

BACA: PRN Sabah: Calon Ketua Menteri akan dipilih ADUN BN, rakan kongsi - Zahid Hamidi