Kurang 72 jam lagi sebelum Hari Pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16, sudah pasti setiap calon parti giat melakukan kerja turun padang mendekati rakyat.

Waktu ini dilihat penting untuk setiap calon meraih undi bagi memastikan mereka mampu mendapat mandat sebagai wakil rakyat sesuatu kawasan.

Tidak terkecuali calon Perikatan Nasional (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias di Parlimen Beaufort, Datuk Isnin Aliasnih.

Bagi Isnin, beliau mahu terus menjadi pemimpin dan wakil rakyat yang boleh membantu ke arah pembangunan kawasan Klias dan Beaufort itu.

"Tempoh dua tahun selepas PRU14 tidak cukup buat saya untuk menyampaikan permasalahan rakyat di kawasan ini.

"Isu jalan, air dan landasan keretapi merupakan antara permasalahan rakyat di kawasan ini. Saya akan terus memperjuangkan perkara," katanya selepas mengadakan Walkabout di Pekan Beaufort pada Rabu.

Sehubungan itu, sokongan dan undi rakyat di Klias ditagih bagi memastikan perancangan ke arah membawa pembangunan kawasan tersebut dapat diteruskan.

Katanya, beliau akan menjadi penghubung kepada suara-suara penduduk Klias sekali gus mencari penyelesaian kepada permasalahan di kawasan berkenaan.