Walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan cadangan mengenai waktu pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bagi mengelakkan kesesakan, namun ia tidak diwajibkan.

Sebaliknya, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, orang ramai masih dibenarkan mengundi di luar waktu cadangan tersebut.

"Ia boleh dijadikan sebagai garis panduan. Kalau tidak boleh mematuhi masa tersebut mereka masih boleh keluar mengundi," katanya pada sidang akhbar mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, pada Khamis.

Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKPP bersetuju dengan cadangan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) pilihan raya yang dibentangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya, garis panduan dan SOP Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini dan Slim akan diguna pakai dalam PRN Sabah pada 26 September ini dengan sedikit perubahan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, meskipun ceramah dibenarkan pada tempoh berkempen, namun beliau menggesa orang ramai supaya tidak mengadakan perhimpunan besar-besaran.

"Kita benarkan jumlah maksimum 250 individu namun ia bergantung kepada keluasan tempat terbabit juga.

"Kalau tempat itu sempit dan menyukarkan penjarakan fizikal maka tidak boleh," tambahnya.

Ismail Sabri berkata, sepanjang tempoh kempen, bilik gerakan dibenarkan beroperasi dengan syarat berdaftar dengan SPR.

"Pengundi yang berstatus positif COVID-19 tidak akan dibenarkan untuk keluar hospital untuk mengundi kerana berisiko untuk menjangkiti orang ramai.

"Pengundi yang berstatus patient under investigation (PUI) dan person under surveillance (PUS) yang berhasrat untuk mengundi perlu memohon kebenaran terlebih dahulu dari pegawai kesihatan daerah," ujarnya.