PKR mengumumkan akan bertanding di 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.

Ketua Penerangan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Simsudin Sidek berkata, peningkatan daripada lapan kerusi ditandingi sebelum ini munasabah seiring penambahan kerusi DUN di Sabah.

Katanya, bilangan kerusi DUN meningkat daripada 60 sebelum ini kepada 73 untuk PRN Sabah kali ini.

"Sebagai sebuah parti pelbagai kaum yang telah lama menyertai pilihan raya, PKR juga berhasrat menampilkan calon Bumiputera Islam, Bumiputera bukan Islam dan Cina. PKR juga ingin mempunyai calon di segenap pelusuk Sabah.

"Ini komitmen PKR untuk mengembalikan mandat rakyat kepada kerajaan Negeri yang diterajui Parti Warisan Sabah (Warisan), Pakatan Harapan (PH) dan Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam PRN 2020," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Simsudin berkata, dua rundingan terakhir PKR-Warisan telah melibatkan Presiden Warisan dan pimpinan tertinggi PKR.

Berikut merupakan senarai kerusi-kerusi yang ditandingi PRK dalam PRN Sabah:

1. N.20 Api-Api

2. N.18 Inanam

3. N.09 Tempasuk

4. N.14 Tamparuli

5. N.05 Matunggong

6. N.32 Klias

7. N.45 Sook

8. N.43 Kemabong

9. N.61 Segama

10. N.27 Limbahau

11. N.51 Sg Manila

12. N.31 Membakut

13. N.08 Pintasan

14. N.23 Petagas